Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pada ketika ini, nama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) Moscow tidak lagi
asing dalam kalangan pelajar-pelajar yang menuntut di bumi bekas
jajahan Komunis ini. Setelah hampir 8 tahun PPIM-Moscow ini
ditubuhkan, ia masih berdiri teguh dan masih pantas bergerak merentasi
cabaran dan liku di bumi Rusia ini. Ucapan tahniah saya kalungkan kepada
organisasi-organisasi lalu yang telah diberikan mandat dalam memastikan nama
PPIM tidak pudar ditelan masa. Tanpa usaha dan penat lelah mereka, pada
hari ini nama “PPIM” hanyalah sekadar akronim kosong yang tidak membuahkan
makna.
Sudah jelas bagi kita sebagai manusia yang hidup di dalam fitrah yang
telah ditentukan oleh Ilahi, masa bersilih ganti, siang menjadi
malam, benih menjadi pohon menghijau. Mandat yang telah diamanahkan
kini harus diturunkan kepada organisasi baharu. Beban kini dipikul oleh
organisasi baharu yang bertanggungjawab untuk memastikan objektif persatuan ini
akan terus dicapai. Biarpun wajah dan susuk tubuh bertukar ganti, namun api semangat
di dalam diri ahli-ahli baharu ini tetap terus membakar.
Sebagai persatuan yang ditubuhkan atas nama "perubatan", sudah
menjadi tanggungjawab kami untuk menggembeleng sehabis baik tenaga kami
sebagai satu organisasi untuk memastikan persatuan ini dapat terus
membentuk pelajar-pelajar perubatan yang cemerlang dari segi
akademik. Biarpun kita sedia maklum bahawa terdapat kekurangan dari segi
sistem pembelajaran di bumi Moscow ini, ia tidak menjadi halangan dan alasan
bagi kita untuk mencari alternatif lain melalui inisiatif kita sendiri bagi
memastikan kekurangan tersebut dapat diatasi.
Oleh sebab itu,
kami tampil kehadapan dalam memberikan alternatif tersebut. Kami yakin bahawa
dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti ilmiah melalui medium yang
pelbagai dapat mengisi kekosongan yang ada. Pelbagai pendekatan bakal
dijalankan dalam usaha untuk bukan sahaja membentuk graduan jenama Rusia
yang hebat dari segi akademik, malah dari segi sahsiah, kemahiran
praktikal dan lain-lain lagi.
Harapan kami adalah supaya para
pelajar dapat turut serta dan memberi sokongan kepada pihak
kami supaya objektif kami dalam membentuk graduan Rusia gred A dapat
menjadi kenyataan. Akhir sekali, sama-sama kita panjatkan doa kepada
Allah supaya segala usaha dari pihak organisasi dan juga kesemua pelajar
yang terlibat mendapat redha dari-Nya.
“Al-Hidayah, As-Syifa, Ar-Rahmah”
“Guidance, Healing, Mercy”
Wallahua’lam.
Muhammad Naqib bin Mohamed
Pengerusi PPIM MOSCOW 2013-2015